“Kepalaku!”
kata Aisyah.
Baginda
Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam dan Aisyah radhiyallaahu ‘anha baru
sahaja pulang daripada menziarahi perkuburan al-Baqi’ lewat malam tadi.
Kepala
Aisyah sakit berdenyut-denyut.
Baginda
menyedarinya.
“Bahkan
kepalaku juga wahai Aisyah. Oh kepalaku!” kata Baginda sallallaahu ‘alayhi wa
sallam.
Jika
suami pening, tangan isteri yang memicit banyak mendatangkan rasa lega.
Jika
isteri yang sakit, belaian seorang suami adalah penyembuh paling berharga.
Tetapi di
malam itu kedua-duanya sakit. Kepala mereka berat.
“Janganlah
engkau bersusah hati wahai Aisyah. Seandainya engkau mati sebelumku, nescaya
aku akan menyempurnakan urusanmu. Aku akan mandikan dikau, kukafankan dirimu
dan akan kudirikan solat buatmu serta engkau akan kukebumikan!!”, usik sang
suami.
“Demi
Allah, aku rasa kalau begitulah kisahnya pasti selepas itu engkau akan pulang
ke rumahku dan berpesta gembira dengan isteri-isterimu yang masih hidup!” si
isteri tersentak dengan gurauan sang suami.
Merajuk.
Nabi
sallallaahu ‘alayhi wa sallam ketawa.
Dalam
sakit yang luar biasa itu, baginda masih suami yang hangat dengan mawaddah.
Sakitnya tidak menjadikan beliau keluh kesah. Sempat pula mengusik isteri yang
tidak tentu rasa.
SAKIT
YANG BERTAMBAH
Malam itu
berlalu dengan sakit yang tidak beransur kurang.
Kesakitan
itu memuncak semasa Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam memenuhi giliran Baginda
di rumah isterinya, Maimunah radhiyallaahu ‘anha. Bukan sakit yang sembarangan.
Ia sakit yang menjadi kemabukan sebuah kematian. Sakaraat al-Maut!
“Esok aku
di mana? Esok aku di mana?” Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam bertanya.
Dalam
sakit yang bersangatan, Baginda masih ’sedar’ akan tanggungjawab dirinya
berlaku adil kepada para isteri.
Itulah
ukuran adil seorang mukmin terhadap isteri-isterinya. Mengusahakan segala
tenaga yang berbaki untuk tidak memalit zalim dalam melunaskan amanah sebagai
seorang suami. Tidak mengambil mudah hanya dengan alasan yang remeh temeh untuk
melebihkan seorang isteri berbanding yang lain.
Itulah
juga ukiran makna bagi sebuah Mawaddah. Cinta yang bertambah hasil kesungguhan
mengatasi ujian dan musibah.
Namun di
situlah terselitnya Rahmah. Sifat belas ihsan yang terbit daripada hati yang
mengasihi.
“Izinkan
aku berhenti bergilir dengan menetap di rumah Aisyah” Rasulullah sallallaahu
‘alayhi wa sallam meminta izin daripada para isterinya.
Siapakah
yang pernah membantah permintaan seorang Rasul. Namun Baginda tetap meminta
izin kerana keizinan itu hakikatnya kekal bagian seorang isteri. Tiada isteri
yang dipinggirkan. Hak masing-masing dihormati. Andaikata seorang Rasul boleh
meminta izin menahan giliran daripada isteri Baginda, bagaimana mungkin seorang
suami menjadi angkuh mempertahankan haknya di hadapan isteri atau
isteri-isterinya?
HARI-HARI
TERAKHIR
Masruq
meriwayatkan daripada Aisyah radhiyallahu ‘anha:
Tatkala
Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam gering, kesemua isteri Baginda berada di
sisi. Tiada seorang pun yang tercicir antara mereka. Ketika mereka berhimpun,
anakanda kesayangan Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam, Fatimah radhiyallahu
‘anha datang berjalan. Demi sesungguhnya cara berjalan Fatimah tidak ubah
seperti ayahandanya, Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam.
“Selamat
datang wahai anakandaku,” Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam dengan suara
yang lemah menjemput Fatimah duduk di sisinya.
Baginda
membisikkan sesuatu ke telinga Fatimah.
Anakanda
itu menangis.
Kemudian
Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam membisikkan sesuatu lagi ke telinga anak
kesayangannya.
Fatimah
ketawa.
Apabila
Fatimah bangun dari sisi ayahandanya, Aisyah radhiyallahu ‘anha bertanya,
“apakah yang diperkatakan oleh Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam hingga
menyebabkan engkau menangis dan engkau ketawa?”
Fatimah
menjawab, “Aku tidak akan mendedahkan rahsia Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa
sallam!”
Demi
sesungguhnya, selepas wafatnya Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam, Aisyah
radhiyallahu ‘anha mengulang kembali soalan yang sama kepada Fatimah, “Aku
bertanyakan engkau soalan yang engkau berhak untuk menjawab atau tidak
menjawabnya. Aku ingin sekali engkau memberitahuku, apakah rahsia yang
dikhabarkan oleh Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam dahulu?”
Kata
Fatimah, “ada pun sekarang, maka ya, aku bisa memberitahunya!
“Baginda
sallallaahu ‘alayhi wa sallam berbisik kepadaku dengan berkata: sesungguhnya
Jibril selalunya mendatangiku untuk mengulang semakan al-Quran sekali dalam
setahun. Namun di tahun ini beliau mendatangiku dua kali. Tidaklah aku melihat
kelainan itu melainkan ia adalah petanda ketibaan ajalku. Justeru… bertaqwalah
kepada Allah dan bersabarlah kamu dengan ketentuan ini. Atas segala yang telah
ditempuh dalam kehidupan ini, sesungguhnya aku adalah untukmu wahai Fatimah!
Aku
menangis…
Kemudian
Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam berbisik lagi kepadaku dengan berkata:
apakah engkau gembira kalau aku khabarkan kepadamu bahawa engkau adalah
penghulu sekalian wanita di Syurga? Dan sesungguhnya engkau adalah insan
pertama yang akan menurutiku daripada kalangan ahli keluargaku!
Aku
ketawa”
Sesungguhnya…
Fatimah
radhiyallahu ‘anha benar-benar kembali kepada Allah, menuruti pemergian
ayahandanya enam bulan selepas kewafatan Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam.
Benarlah beliau ahli keluarga pertama Baginda yang pergi. Dan benarlah kalam
utusan Allah… sallallaahu ‘alayhi wa sallam!
DETIK
SEMAKIN HAMPIR
Dhuha itu
tepu dengan kegelisahan.
Senyuman
yang dilemparkan Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam kepada Abu Bakr dan
sahabat semasa mereka mengerjakan Solat Subuh tadi, benar-benar mengubat rindu
mereka. Namun para sahabat tidak tahu bahawa kerinduan mereka hanya terubat
seketika, dan mereka akan kembali merindui wajah itu, buat selamanya. Senyuman
itu bukan senyuman kesembuhan. Ia adalah senyuman perpisahan.
Badan
Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam semakin panas. Sesekali ada dengusan yang
keras dari nafas kekasih Allah itu mendepani mabuknya kesakitan sebuah
kematian.
“Laknat
Allah ke atas Yahudi dan Nasrani, mereka menjadikan kubur-kubur Nabi mereka
sebagai masjid!” bibir Baginda masih tidak berhenti sallallaahu ‘alayhi wa
sallam menuturkan pesan-pesan yang penting buat umat yang bakal dilambai
perpisahan.
Aisyah
radhiyallahu ‘anha meneruskan catatannya:
Aku
melihat sendiri Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam mendepani kematian
Baginda.
Kami
ketika itu berbicara sesama kami bahawa sesungguhnya Nabi sallallaahu ‘alayhi
wa sallam tidak akan meninggal dunia sehinggalah Baginda membuat pilihan antara
Dunia dan Akhirat. Tatkala Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam semakin gering
mendepani kematian, dalam suara yang serak aku mendengar Rasulullah sallallaahu
‘alayhi wa sallam berkata: Aku bersama dengan orang yang diberikan nikmat oleh
Allah ke atas mereka daripada kalangan para Nabi, Siddiqin, Syuhada’ dan
Solihin, dan itulah sebaik-baik peneman yang menemankan aku!
Dan
tahulah kami, Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam telah menyempurnakan
pilihannya itu.
Dalam
kegeringan itu, aku sandarkan tubuh Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam
rapat ke dadaku. Telingaku menangkap bicara lemah di ambang kematian, Baginda
sallallaahu ‘alayhi wa sallam berbicara: Allahumma, ampunkanlah diriku,
rahmatilah aku, dan temukanlah aku dengan-Mu, Temanku yang Maha Tinggi.
Ketika
Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam bersandar di dadaku, datang adikku, Abdul
Rahman bin Abi Bakr dengan siwak yang basah di tangannya. Aku menyedari yang
Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam merenung siwak itu, sebagai isyarat yang
Baginda menggemarinya. Apabila ditanya, Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam
mengangguk tanda mahukan siwak itu. Lalu kulembutkan siwak itu untuk Baginda
dan kuberikan kepadanya. Baginda cuba untuk melakukannya sendiri tetapi ketika
siwak yang telah kulembutkan itu kena ke mulut Baginda, ia terlepas daripada
tangan dan terjatuh… air liurku bersatu dengan air liur Rasulullah sallallaahu
‘alayhi wa sallam di detik akhirnya di Dunia ini, dan detik pertamanya di
Akhirat nanti.
Di
sisinya ada sebekas air. Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam mencelupkan
tangannya dan kemudian menyapu wajahnya dengan air itu lalu berkata: Laa Ilaaha
Illallaah! Sesungguhnya kematian ini kesakitannya amat sakit hingga memabukkan!
Allahumma, bantulah aku mendepani Sakaraat al-Maut ini!
Baginda
sallallaahu ‘alayhi wa sallam mengangkat jari kirinya ke Langit lalu berkata:
Kembalilah aku kepada Teman yang Maha Tinggi! Kembalilah aku kepada Teman yang
Maha Tinggi!”
Tangan
itu layu. Jatuh ke dalam bejana.
Leher Baginda
sallallaahu ‘alayhi wa sallam terkulai di dada Aisyah.
Pencinta
Ilahi yang rebah di pelukan isteri tercinta. Melambai pergi ummah yang
dirindui. Pencinta yang agung itu telah mati. Tetapi cintanya harum hingga ke
detik ini.
Innaa
Lillaah wa Innaa Ilayhi Raaji’un.
Sesungguhnya
Allah dan malaikat-Nya berselawat kepada Nabi. Wahai orang-orang yang beriman
berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan
penghormatan yang sepenuhnya. [Al-Ahzaab 33: 56]
Kami
rindukanmu.
No comments:
Post a Comment