ASK YOURSELF, AM I READY TO MEET ALLAH ? DO I LOOK FORWARD TO MEETING ALLAH ON THE DAY OF JUDGEMENT ? WHAT I WILL BRING TO THAT MEETING ?

"SO WHOEVER WOULD HOPE FOR THE MEETING WITH HIS LORD, LET HIM DO RIGHTEOUS WORK AND NOT ASSOCIATE IN THE WORSHIP OF HIS LORD ANYONE"

(18:110)


Saturday 31 December 2011

SAAT INGIN MELANGKAH:SEMANGAT INGIN BERUBAH

Bismillah ar-Rahman ar-Rahim
Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pengasih Maha Penyayang.
Tuhan yang memiliki segala yang di langit dan di bumi serta apa yang ada antara keduanya.
Segala puji bagi Tuhan tempat bergantung segala sesuatu, yang tiada beranak juga tidak diperanakkan.
Semoga segala yang dicoret akan mendatangkan manfaat buat yang membaca serta menjadi amal buat hamba yang menulisnya.

“Setiap orang pasti merasai sukarnya langkah pertama”
Untuk teman-teman yang dengan pengiktirafan dari ALLAH Yang Maha Pengasih, setiap dari kamu adalah keluargaku, saudaraku. Saudara yang bukan sedarah-daging tapi seakidah. Tiada ikatan yang lebih mulia dari ikatan iman ini kerana tiada apa pun dalam dunia ini yang mampu membayar harga ikatan itu dan tiada apa yang mampu mewujudkan ikatan persaudaraan yang telah ALLAH janjikan sebagai nikmat indah buat orang beriman ini melainkan semata-mata izin dariNya.

 Dan (Dia-lah) yang menyatupadukan di antara hati mereka (yang beriman itu). Kalau engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya Engkau tidak dapat juga menyatupadukan di antara hati mereka, akan tetapi ALLAH telah menyatupadukan di antara (hati) mereka. Sungguh Ia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana (8:63)

 Untuk saudara-saudaraku, siapa sahaja, yang hatinya telah ALLAH sisipkan perasaan indah yakni suatu kesedaran untuk berubah menjadi muslim yang lebih baik dan lebih benar, ketahuilah bahawa itu suatu hidayah yang amat berharga. Bukan semua insan mempunyai perasaan itu, sekurang-kurangnya pada ketika ini.

Seandainya bersama perasaan dan semangat ingin berubah itu, kamu merasa lemah dan ragu untuk memulakan langkah pertamamu, sedarlah bahawa setiap orang pasti merasai sukarnya langkah pertama. Tapi, tanpa langkah pertama kita tidak akan berubah! Manakan mungkin tumbuh pohon yang kukuh andai kita tidak mula menggembur tanah dan menanam biji benih. Manakan mungkin lahir individu muslim yang benar andai kita tidak mula membentuknya dalam jiwa dan iman kita.

Ketahuilah, aku dan saudara-saudara kita yang lain juga pernah merasakannya dulu. (Majoriti) Siapa sahaja yang engkau lihat hebat dengan Islam sekarang, pernah merasai sukarnya memulakan langkah pertama untuk berubah itu. Kita sudah dibesarkan dalam kejahilan dan kemaksiatan yang telah menjadi norma masyarakat kita. Kejahilan dan kemaksiatan seakan sebati dengan kita. Kita tidak mengenal apa itu Islam yang sebenarnya dan apa itu ALLAH yang sebenarnya sehinggalah Dia memilih kita. Maka sambut dan syukurilah perasaan itu agar ia subur dan tidak mati kerana andai diabaikan ia pasti akan berlalu, padahal kita akan ditanya di Akhirat kelak tentang hidayah yang telah Dia kurniakan itu.
Dan mengapa kamu tidak beriman kepada ALLAH, padahal Rasul mengajak kamu beriman kepada Tuhanmu? … (57:8)
 Keimanan yang ALLAH serukan adalah keimanan yang benar, keimanan yang sempurna, terus-menerus, berkesinambungan dan keteguhan di atas keimanan itu. Keimanan yang membezakan bukan sahaja antara seorang mukmin dan kafir, tetapi juga keimanan yang membezakan antara seorang mukmin dengan seorang munafik; seorang mukmin dan seorang yang fasik. Andai kita membiarkan perasaan ingin kembali kepada Tuhan itu berlalu begitu sahaja, kita pasti akan rugi. Kerana kita mungkin akan terjerumus ke dalam kefasikan.
 Belum tibakah waktunya bagi orang yang beriman, untuk secara khusyu’ mengingati ALLAH dan mematuhi kebenarannya yang telah diwahyukan (kepada mereka) dan janganlah mereka (berlaku) seperti orang yang telah menerima kitab sebelum itu (menolak kebenaran padahal mereka mengetahui kebenaran), kemudian mereka melalui masa yang panjang sehingga hati mereka menjadi keras. Dan banyak di antara mereka menjadi orang fasik (hati mereka rosak dan amal mereka bathil) (57:16)

 Andai perasaan syukur itu masih belum menguatkan kamu, muhasabahlah kembali kenapa kita ingin berubah. Kenapa kita ingin menjadi individu muslim yang lebih baik. Teguhkanlah semangatmu dengan niat (kehendak; iradat) yang benar yakni ingin kembali kepada ALLAH dengan hati yang paling bersih, amal yang paling sahih.
 … Barangsiapa yang mengharapkan pertemuan dengan Tuhannya maka hendaklah dia mengerjakan kebajikan dan janganlah dia mempersekutukan dengan sesuatu pun dalam beribadah kepada Tuhannya. (18:110)

Setelah kamu teguhkan niatmu untuk kembali padanya dengan dengan hati yang paling bersih dan amal yang paling sahih, kerjakanlah kebajikan dan amal soleh sesuai dengan tuntutan Yang Maha Pengasih dan sunnah Rasulullah sallallahualaihiwasalam. Untuk itu, maka tuntutlah ilmu agar amal kita sesuai dengan syariat ALLAH dan sunnah KekasihNya. Amal tanpa ilmu, berkemungkinan jauh dari syariat. Kalaupun ia menepati syariat, ia berlaku atas kebetulan, bukan kesengajaan sedangkan sesuatu amal itu dikira berasaskan niat pelakunya. Hakikat niat itu sendiri menuntut kesengajaan dan kesedaran.
Murnikanlah ketaatan kita dengan ilmu dan amal yang benar serta berterusan. Amal yang berterusan (istiqamah) yang didasari niat dan ilmu yang benar adalah penentu samada kita sampai kepada matlamat akhir kita yakni keredhaan ALLAH dan syurgaNya atau sebaliknya. Sebagaimana kita istiqamah dan gigih berusaha dalam belajar untuk mendapat keputusan yang terbaik dalam peperiksaan, seperti itu jugalah kita perlu istiqamah dan gigih berusaha untuk mendapatkan syurga ALLAH; malah lebih teguh dan lebih gigih selayaknya untuk pahala yang besar itu.
Yakinlah, jalan kembali kepada ALLAH itu adalah yang terbaik, maka janganlah ragu untuk berubah kerana kita tidak akan rugi sedikitpun walau sesetengah manusia menilai jalan itu sebagai jalan yang merugikan. Tidak dapat merasai keseronokan dunia bukanlah kerugian yang hakiki, sebaliknya gagal meraih redha ALLAH dan SyurgaNya yang hebat adalah malapetaka yang sebenar. Tiadalah yang lebih hebat dari redha ALLAH dan SyurgaNya maka tiadalah kesedihan dan ragu-ragu andai kita perlu melepaskan keseronokan dunia demi mencapai yang lebih baik dan kekal.

 Sesungguhnya orang-orang yang berkata. “Tuhan kami adalah ALLAH, kemudian mereka meneguhkan pendirian mereka, maka malaikat akan turun kepada mereka (dengan berkata),’Janganlah kamu merasa takut dan janganlah kamu bersedih hati; dan bergembiralah kamu dengan memperoleh syurga yang telah dijanjikan kepadamu’” (41:30)

 Walaupun kehidupan dunia ini hakikatnya pendek, tapi kita akan merasakan jalan kembali kepadanya itu panjang kerana godaan-godaan dunia yang menyapa di sepanjang jalan kehidupan kita. Termasuklah godaan-godaan syaitan, dari golongan jin dan manusia, yang tidak pernah lekang melainkan saat kita mengingati ALLAH. Maka mohonlah perlindungan dari ALLAH terhadap bisikan-bisikan jahat syaitan tersebut agar bisikan kebaikan akan sentiasa memenangi peperangan hati itu sebagaimana yang telah ALLAH ajarkan dalam surah an-Nas. Yakinlah bahawa tiada kekuatan melainkan dengan kekuatan dari sumber yang hakiki.
Ketahuilah bahawa apa sahaja pandangan dan penerimaan manusia terhadap perubahan kita, ia merupakan sebahagian dari ujian ALLAH untuk mendekatkan lagi kita kepadaNya sesuai dengan kehendak kita untuk kembali padaNya dengan hati yang bersih dan amal yang benar. Begitu juga godaan-godaan dunia dan bisikan-bisikan syaitan. Ujian-ujian itu hanya akan dapat di atasi dengan semangat jihad yang tinggi, istiqamah, sabar dan tidak putus asa. Susun dan kenalpastilah ruang-ruang yang ada untuk kita membina iman kita. Sebagaimana kita berusaha untuk menyusun jadual hidup kita untuk mencapai yang terbaik dalam peperiksaan, maka lebih besarlah usaha kita untuk menyusun langkah kita dalam mencapai yang terbaik dalam ujian mencapai redha ALLAH ini. Sebagaimana kita sentiasa cuba untuk belajar dari yang terbaik dalam urusan dunia, seperti itu jugalah sikap kita dalam urusan akhirat ini. Andai untuk peperiksaan, perniagaan dan pekerjaan, kita cuba untuk belajar dari tokoh-tokoh yang telah terbukti kejayaannya, maka untuk meniti jalan kembali pada ALLAH juga, kita wajib melihat jalan-jalan yang telah dilalui oleh mereka-mereka yang telah terbukti kejayaan mereka yakni Habibullah dan para sahabat.
Lihat kembali bagaimana Rasulullah sallallahualaihiwasallam membina imannya dan para sahabat. Yakinlah dengan cara yang telah diwariskan oleh Baginda kerana dengan pendekatan tarbiyah itulah, kebenaran sampai kepada kita sekarang, dengan izin Tuhan. Hiduplah sebagaimana mereka hidup, nescaya dengan seizin Tuhan kita akan berjaya sebagaimana mereka berjaya selagimana niat kita benar untuk mencapai redha ALLAH dan SyurgaNya.

Bersamalah dengan mereka yang juga ingin kembali kepada Tuhan, kerana itu sebahagian dari jalan yang telah diwahyukan ALLAH dan diajarkan Rasulullah sallallahualaihiwasallam.
 Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, sambil mengkehendaki keredhaanNya. Dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka sambil kamu mahukan perhiasan hidup dunia (18:28)

 Sentiasalah bersama teman-teman yang benar. Teman-teman yang hadirnya mengingatkan kamu pada ALLAH dan tingkahnya mengingatkan kamu pada kematian dan kamu tidak akan rugi.
 Sesungguhnya manusia berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran.



Dengan ilmu yang benar (wahyu) dan amal yang berterusan (istiqamah) Baginda, para sahabat serta siapa sahaja yang telah mengikuti jejak langkah mereka telah berjaya menggapai redha Ilahi, maka untuk kita, tuntutlah ilmu, beramallah dengan yakin dan berterusan nescaya hasil yang sama dijanjikan untuk kita. Tiada yang lebih menepati janji melainkan ALLAH. Didiklah hati untuk kembali kepada ALLAH sesungguhnya balasan dariNya tiada tolok bandingnya.
Semoga kita bertemu di Syurga.
Doakan aku untuk turut mujahadah dan istiqamah sesuai dengan cara yang Dia redha.
 Allahua’lam.

Friday 30 December 2011

Selamat Tahun Baru 2012

Sedarlah, tibanya tahun baru menandakan umur kita semakin pendek dan semakin dekat dengan kematian..

Sunday 18 December 2011

Musibah Banjir..

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: 


Rasulullah s.a.w bersabda: “Orang mukmin sama ada lelaki ataupun perempuan akan sentiasa diuji oleh Allah s.w.t, sama ada dirinya, anaknya ataupun hartanya sehinggalah dia menghadap Allah s.w.t tanpa dia membawa dosa sedikitpun.” 
Hadith riwayat Imam Tirmizi

Thursday 8 December 2011

Tadah Tangan KepadaNya..


Berdoalah selalu kerana Allah sangat suka hamba-hambanya bermohon kepadaNya.. :)

Thursday 1 December 2011

IBU !!!


Kasih sayang seorang ibu.
Ada 4 biji epal dan ada 5 orang adik beradik termasuk ibu
'Takpelah, nak. Ibu tak suka makan epal' 
Ibu sentiasa mengalah untuk kita. :)